NATHAN ketika tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini. FOTO Sadiq Sani
NATHAN ketika tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini. FOTO Sadiq Sani
Suraya Roslan


Shah Alam: Pemandu lori yang menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh wanita warga Thailand, minggu lalu.

Tertuduh, V Nathan, 37, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh wanita, Mawika Lumyai, 32, di sebuah unit kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH Setia Alam, Seksyen U13, di sini pada 10.02 malam, 28 Februari lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh yang diwakili peguam, T P Aravind Raj.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin sebelum menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi perkembangan laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

Pada 28 Februari lalu, seorang wanita warga Thailand dilaporkan maut selepas jatuh dari tingkat 23 kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan insiden itu, jam 10.02 malam pada hari kejadian.

Menurut saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum wanita berkenaan ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh kondominium terbabit.

Semakan polis mendapati suspek ada tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 12:55 PM