NENEK suspek kesedihan di luar  Mahkamah Tinggi Seremban.
NENEK suspek kesedihan di luar Mahkamah Tinggi Seremban.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, menangguhkan perbicaraan kes seorang pelajar Korea yang didakwa mengedar dadah selepas saksi utama berbohong ketika memberi keterangan, semalam.

Hakim Abu Bakar Jais mengarahkan perbicaraan terhadap Kim Yun Soung, 20, ditangguhkan pada 4 Oktober ini sebaik saksi berkenaan mengaku berbohong berkaitan hasil siasatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Nilai didakwa mengedar 219 gram kanabis di kediamannya berdekatan kolej pada jam 12.30 tengah malam, 19 Oktober 2016.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada 31 Oktober 2016 namun dia membuat pengakuan tidak bersalah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang dibicarakan buat kali pertama di Mahkamah Tinggi, di sini Mac lalu serta perbicaraan kedua di mahkamah sama, kelmarin dengan saksi utama didakwa memberikan kenyataan bercanggah.

Pada perbicaraan kali ketiga, semalam, saksi mengaku berbohong menyebabkan Abu Bakar menangguhkan kes bagi memberi masa kepada pihak pendakwa raya mengkajinya semula.

“Saya cadangkan pihak pendakwa raya kaji semula kes ini dan membuat ketetapan sama ada meneruskannya atau tidak. Bohong tetap bohong, fakta itu serius menghina mahkamah,” kata Abu Bakar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majid dalam hujahnya berkata, saksi utama kes memberikan kenyataan bercanggah ketika perbicaraan kelmarin.

“Saksi belum diberi peluang untuk menjelaskan kenyataannya. Terdapat percanggahan ketika kes pendakwaan dan ketika kes pemeriksaan balas oleh peguam.

“Keterangan itu bercanggah dari segi serbuan dijalankan serta fakta berkenaan penemuan dadah,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Gobind Singh Deo bersetuju supaya pendakwa raya meneliti semula kes terbabit sama ada mahu diteruskan atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 7:19 AM