Moktarudin (empat kiri) bersama Pasukan STRIKE melihat dadah yang berjaya dirampas daripada tokan dan penagih dadah berhampiran sebuah resort dekat Slim Riveer, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Moktarudin (empat kiri) bersama Pasukan STRIKE melihat dadah yang berjaya dirampas daripada tokan dan penagih dadah berhampiran sebuah resort dekat Slim Riveer, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin

Seramai 23 penagih dadah tegar termasuk dua tokan ditahan dalam Operasi Khas yang dijalankan Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berhampiran sebuah resort dekat Slim River hari ini.

Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK negeri, Mokhtarudin Mohamad berkata, operasi membabitkan seramai 12 anggota STRIKE bermula 2.30 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika serbuan dipercayai penagih bersama tokan sedang menjalankan urusan jual beli dan ada yang sedang menghisap dadah di kawasan resort berkenaan.

Katanya, sebanyak 70 paket dadah jenis heroin seberat kira-kira 127 gram dirampas bersama wang tunai sebanyak RM664 selain beberapa kenderaan turut disita.

"Semua penagih dibawa ke AADK Muallim untuk ujian saringan awal air kencing dan hasil saringan awal mendapati kesemua mereka berusia 28 hingga 62 tahun yang ditangkap positif dadah.

"18 daripadanya didapati positif dadah morfin dan lima positif syabu. Kesemua ditahan direman untuk siasatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 8:02 PM