SENJATA yang dirampas dalam Op Cegah di Miri, Sarawak.
SENJATA yang dirampas dalam Op Cegah di Miri, Sarawak.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Penagih dadah yang diburu namun anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menemui dan merampas senjata api dalam operasi terbaru di Miri, Sarawak, semalam.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Zainudin Abdullah berkata, dalam operasi terbaru dilakukan itu, pihaknya merampas 22 peluru dan senapang patah milik penagih ditahan.

Menurutnya, turut dirampas pedang samurai milik suspek yang dipercayai turut terbabit dalam pengedaran dadah.

“Dalam operasi Op Cegah terbaru di Bekenu, Miri, bermula jam 9 pagi, kami merampas senjata api Pump Gun, 22 peluru hidup dan pedang,” katanya.

Beliau berkata, operasi membabitkan hampir 20 anggota AADK Miri, Samarahan, Limbang dan Bintulu, Sarawak.

“Seramai tujuh lelaki diberkas dan ujian air kencing mendapati semua mereka berusia 19 hingga 40 tahun itu positif mengambil dadah syabu.

“Susulan operasi itu, pihak AADK turut merampas satu peket plastik dadah syabu seberat hampir 25 gram selain tiup straw berisi dadah,” katanya.

Menurutnya, semua barang salah termasuk senjata itu diserahkan kepada polis Jabatan Siasatan Jenayah Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sepasukan pegawai dan anggota Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Ibu Pejabat AADK di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan, Julai lalu, seramai tujuh individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pasukan STRIKE yang melakukan pemeriksaan terkejut apabila mendapati seorang daripada mereka yang diperiksa menyimpan tiga peluru hidup di dalam poket seluar.

Susulan itu anggota pasukan STRIKE dikerahkan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di dalam premis itu sebelum menemui selaras senapang patah selain dua laras senapang angin buatan sendiri.

Turut ditemui sebutir kelongsong plastik berwarna hijau yang bertulis explosive dipercayai bahan letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:45 AM