Mohd Faris sertai larian dengan kerusi roda. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Faris sertai larian dengan kerusi roda. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Betty Subaryati


PELAJAR lelaki orang kurang upaya (OKU) antara yang mengikuti larian sejauh dua kilometer (km) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, Kota Bharu, hari ini.

Pelajar SMK Raja Sakti, Mohd Faris Iqbal Ahmad, 15, berkata, walaupun kedua kakinya lumpuh, namun dia tetap bersemangat menyertai larian dengan menggunakan kerusi roda dan dibantu rakan bagi sambutan hari kemerdekaan sekolahnya.

"Saya teruja apabila sekolah ini menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60, walaupun saya berkerusi roda.

"Jarak perarakan yang jauh tidak mematahkan semangat kerana saya cintakan negara," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 Peringkat Sekolah di SMK Raja Sakti, di sini, hari ini.

Larian itu disertai lebih 3,000 pelajar dari tiga sekolah iaitu SK Kota Jembal, SK Raja Bahar dan Tadika KEMAS An-Nur serta masyarakat setempat dan agensi kerajaan.

Turut hadir, Pengetua SMK Raja Sakti, Che Daud Harun dan Penolong Kanan Ko Kurikulum, Datin Rohana Hassan.

Sementara itu, Che Daud berkata, sambutan kemerdekaan sekolah diadakan setiap tahun untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan menyemarakkan bulan Merdeka.

"Kita mahu pelajar bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang tetapi mahu mereka tahu erti bendera yang menjadi kebanggaan negara.

"Saya harap semua guru dan pelajar mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sempena sambutan kemerdekaan untuk mengenang sejarah kemerdekaan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:04 PM