Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Selepas hampir sembilan bulan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran D Rumah (PdPR), kini saya dapat bersemuka dengan guru serta rakan sekelas," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, Nik Alia Nik Azmi, 16.

Beliau mengakui belajar secara dalam talian menyebabkannya mengalami kesukaran untuk memahami beberapa matapelajaran penting, namun perlu akur akan situasi semasa memandangkan kes pandemik Covid-19 pada ketika itu semakin membimbangkan.

"Gunalah sebaik mungkin kelonggaran yang diberikan oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) yang membenarkan pelajar kembali ke sekolah dan belajar bersemuka seperti sediakala meskipun dalam keadaan norma baharu," katanya.

Di SMK Raja Sakti, kelihatan keterujaan pada wajah pelajar untuk memulakan sesi persekolahan selepas tertangguh berbulan-bulan akibat penularan pandemik Covid-19.

Tinjaun juga mendapati pelajar perlu memakai pelitup muka dan menjalani saringan suhu badan.

Sementara itu, seorang ibu, Azlizawati Mohd Noor, 42, berkata, ini adalah hari pertama anak kedua daripada tiga beradik, Ayub Haiqal Mohd Azli, 13, memulakan sesi persekolahan.

"Saya tidak membuat apa-apa persiapan dan dia hnaya memakai pakaian seragam lama, namun apa yang lebih penting adalah keselamatan anak saya dengan berpesan supaya sentiasa memakai pelitup muka dan juga menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan.

"Meskipun agak risau, namun saya yakin Ayub Haiqal dapat mempraktikkan norma baharu di sekolah selain perlu mematuhi SOP dan terus pulang ke rumah selepas sesi persekolahan tamat," katanya.

Manakala bagi pembantu am, Nor Azira Ibrahim, 41, dia berada dalam dilema apabila terpaksa merelakan anak sulungnya, Nurin Najwa Nor Shahrizan, 16, ke sekolah pada hari ini.

PELAJAR SMK Raja Sakti perlu menjalani saringa suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kawasan sekolah sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan memerangi Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PELAJAR SMK Raja Sakti perlu menjalani saringa suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kawasan sekolah sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan memerangi Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Meskipun anak saya sudah dewasa serta mampu menjaga diri, namun kerisauan sebagai ibu tetap ada, namun saya yakin pihak sekolah dapat memantau bagi memastikan semua pelajar mematuhi SOP.

"Kali terakhir anak saya bersekolah adalah pada Julai tahun lalu sebelum sekolah ditutup semula dan kini hanya doa yang dapat panjatkan supaya anak selamat dan dijauhi daripada wabak ini," katanya yang tinggal di Kampung Chepo.

Pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Johor, Kelantan dan Terengganu kembali ke sekolah hari ini dan pelajar negeri lain esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 10:38 AM