MANGSA ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
MANGSA ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
HM Digital

Rantau Panjang: “Saya terlihat mangsa berlari dalam keadaan berdarah sambil menjerit minta tolong sebelum dia rebah di atas tangga.

“Ketika itu saya sedang makan di tingkat bawah dan terus berhenti sebab terkejut dengan kejadian itu,” kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Akmal, 25, saksi kejadian lelaki yang maut ditikam dua kali di restoran makanan segera di Gual Tinggi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, mangsa, Lee Boon Guan, 33, yang berasal dari Melaka maut di lokasi selepas ditikam dengan pisau di bahagian dada dan belakang badan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Akmal berkata, orang ramai yang berada di dalam premis itu cuba membantu mangsa dan ada yang menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa ditikam di bahagian dada dan belakang badan dengan sebilah pisau.

Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama seorang rakan wanita berusia 30-an di tingkat satu premis itu.

“Ketika sedang makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat bercakap beberapa patah perkataan.

“Suspek mengeluarkan pisau dan terus menikam mangsa di bahagian dada dan belakang badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 6:00 AM