Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Seorang pekerja kilang maut ditikam adik iparnya selepas cuba meleraikan pergaduhan antara suspek dan isterinya dalam kejadian di sebuah apartmen di USJ 7, Subang Jaya, malam tadi.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, mangsa yang juga warga Myanmar berusia 45 tahun itu ditikam di bahagian belakang badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek berusia 42 tahun yang mabuk tidak berpuas hati apabila isterinya yang juga adik mangsa tidak menyediakan makanan mencukupi.

"Suspek bertengkar dengan isterinya kerana tidak menyediakan makanan mencukupi. Suspek yang berada dalam keadaan mabuk pada masa itu terus mengamuk, menarik rambut dan menumbuk kepala isterinya.

"Mangsa cuba menenangkan suspek, tetapi suspek terus menikam di bahagian belakang badan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, suspek terus melarikan diri selepas kejadian sebelum ditahan pada 8 malam di tingkat bawah apartment berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas pisau digunakan suspek dan suspek akan direman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 12:46 AM