Lee Boon Guan maut ditikam ketika makan di restoran makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar dan ihsan pembaca
Lee Boon Guan maut ditikam ketika makan di restoran makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar dan ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Mohamad Zulhairie Manzaidi


LELAKI berusia 33 tahun maut selepas ditikam dengan pisau sebanyak dua kali oleh seorang lelaki dalam kejadian di restoran makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang, Lee Boon Guan, 33, yang berasal dari Melaka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa ditikam di dada dan belakang badan.

Katanya, sebelum kejadian mangsa makan bersama rakan wanita berusia 30-an di tingkat satu restoran berkenaan.

"Ketika sedang makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat bercakap beberapa patah perkataan sebelum mengeluarkan sebilah pisau.

"Suspek terus menikam mangsa di dada dan belakang badan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, mangsa terus berlari turun dan rebah di atas tangga. Manakala, suspek melarikan diri melalui pintu belakang.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di atas tangga oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

"Kita juga mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis.

"Polis kini memburu suspek dengan membuat sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam dan di Lalang Pepuyu, di sini," katanya.

Beliau meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berhubung kejadian untuk menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:26 PM