ANGGOTA forensik PDRM memeriksa mayat mangsa dipercayai dibunuh di tepi deretan kedai di Cheng, Melaka.
ANGGOTA forensik PDRM memeriksa mayat mangsa dipercayai dibunuh di tepi deretan kedai di Cheng, Melaka.

Melaka: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui di tepi semak berhampiran gaung di Cheng Perdana, di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui orang ramai yang hendak meletakkan kenderaan berhampiran bangunan kedai dua tingkat di situ jam 8.30 pagi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis yang menerima maklumat ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dipukul di belakang kepala selain ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam di belakang badan

“Mangsa dipercayai dibunuh di kawasan lain dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dibawa ke situ,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sumber berkata, Unit Forensik dan Hospital Melaka turut melakukan pemeriksaan di tingkat atas premis kedai dipercayai rumah mangsa yang terletak 100 meter dari lokasi mayat ditemui.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh di premis terbabit berdasarkan kesan darah ditemui di lantai dan tangga, selain terdapat pisau yang mempunyai kesan darah.

Menurutnya, dua lelaki dipercayai rakan serumah mangsa ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 7:12 AM