Mohd Hafizee Mohd Arop

PERSELISIHAN faham dua jiran yang menyewa bilik di bangunan tiga tingkat di Jalan Theatre, Ipoh berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati ditikam, hari ini.

Kejadian berlaku 12 tengah hari menyebabkan Chai Ah Kin, 83, maut di tempat kejadian, manakala suspek lelaki berusia lingkungan 30-an parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Difahamkan, terdapat kesan tikaman objek tumpul dipercayai sudu di dada mangsa, manakala suspek yang parah ditetak di bahagian kepala oleh individu lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mangsa dipercayai bergaduh dengan suspek sebelum suspek menikamnya dengan objek tumpul.

Katanya, kedua-duanya tinggal di bilik bersebelahan satu sama lain.

“Seorang wanita yang juga penyewa bilik di bangunan itu mendakwa cuba meleraikan pergaduhan tetapi dicekik suspek yang menyebabkan anak lelakinya berusia 30-an mengambil pisau pemotong daging dan menetak suspek.

“Terdapat beberapa bilik di bangunan tiga tingkat itu yang disewakan, kesemua mereka menyewa kecuali anak wanita berkenaan yang tinggal di Sunway, Petaling Jaya dan pulang untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama ibunya.

“Setakat ini kita masih menyiasat objek sebenar yang digunakan suspek untuk menikam mangsa hingga mati. Setakat ini, objek ditemui di lokasi adalah sudu,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Anuar berkata, siasatan lanjut turut memfokus kepada motif sebenar kejadian meskipun maklumat awal diterima akibat perselisihan faham yang berlarutan antara mangsa dan suspek.

Difahamkan, mangsa sudah menyewa bilik di situ sejak 20 tahun lalu, manakala suspek baru tinggal enam bulan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik HRPB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 4:54 PM
Anggota polis mengangkat mayat mangsa (gambar kecil) yang maut ditikam. FOTO L Manimaran.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa (gambar kecil) yang maut ditikam. FOTO L Manimaran.