MOTOSIKAL mangsa yang remuk akibat dirempuh kereta di Jalan Kuching-Serian, semalam.
MOTOSIKAL mangsa yang remuk akibat dirempuh kereta di Jalan Kuching-Serian, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Padawan: Dua wanita maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kuching-Serian, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 2 pagi itu meragut nyawa penunggangnya Audrey Kymberlee Patrik, 28, dan pembonceng berusia 30-an yang belum dikenal pasti identitinya yang disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bingkok John berkata, siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave yang ditunggangi mangsa menghala ke bandar raya Kuching.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 27 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal itu.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa yang parah di kepala dan badan di bawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pembonceng motosikal tidak membawa dokumen pengenalan diri dan polis kini mengesan waris untuk urusan tuntutan mayat.

Katanya, pemandu wanita membuat laporan dan keterangan daripadanya berhubung kejadian diambil untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:38 AM