Motosikal mangsa remuk. FOTO Ihsan PDRM
Motosikal mangsa remuk. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh pacuan empat roda Toyota Hilux di depan kompleks perumahan kerajaan di pekan Tatau di sini, jam 7.20 malam semalam.

Kejadian menyebabkan Ambrose Judah Muyang, 18, disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, mangsa yang menunggang motosikal Demak gagal mengawal jentera itu sebelum merempuh Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 51 tahun.

“Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal bersama rakan lelakinya yang berusia 13 tahun. Jentera berkenaan pula tidak dilengkapi lampu depan menyebabkan mangsa tidak menyedari kenderaan di depan.

“Rempuhan menyebabkan Ambrose dan rakannya tercampak di bahu jalan. Mangsa mati di lokasi manakala rakannya cedera ringan. Orang ramai yang melalui jalan berkenaan kemudiannya menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Dennis, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 5:29 PM