Salah satu mayat mangsa dan keadaan motosikal terlah dirempuh kereta. FOTO Ihsan PDRM
Salah satu mayat mangsa dan keadaan motosikal terlah dirempuh kereta. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA wanita maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di kilometer 17 Jalan Kuching-Serian, di Padawan, awal pagi hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu meragut nyawa penunggangnya Audrey Kymberlee Patrik, 28, dan pembonceng berusia 30-an yang masih belum dapat dikenal pasti identitinya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bingkok John berkata, siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa menghala ke bandar raya Kuching.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 27 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal berkenaan.

"Akibat daripada rempuhan kuat itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan kemudiannya di bawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pembonceng motosikal tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan polis kini sedang mengesan waris untuk urusan tuntutan mayat.

Katanya, pemandu wanita sudah membuat laporan polis dan keterangan daripadanya berhubung kejadian sudah diambil untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 4:23 PM