Asyraf Wajdi (dua dari kanan) dan Johan (kanan) beramah mesra dengan bakal jemaah haji Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Asyraf Wajdi (dua dari kanan) dan Johan (kanan) beramah mesra dengan bakal jemaah haji Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


JEMAAH haji dari Kelantan yang akan ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini meningkat 80 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, ia membabitkan sejumlah 2,900 orang berbanding 1,600 pada 2016.

Katanya, Kelantan juga negeri ketiga teramai menghantar bakal jemah haji selepas Selangor dan Johor.

"Peningkatan ini susulan keputusan kerajaan Arab Saudi menambah kuota jemaah Malaysia daripada 22,320 orang kepada 30,200 orang.

"Kumpulan pertama Kelantan akan berlepas pada 23 Julai menerusi penerbangan terus dari Kota Bharu," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir Kursus Haji Perdana Musim 1438H/2017M Peringkat Kelantan yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Johan turut menasihati jemaah Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang menunaikan ibadat, susulan serangan militan Daish, akhir-akhir ini.

"Saya yakin kerajaan Arab Saudi sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan jemaah haji seluruh dunia.

"Namun, dalam masa sama jemaah kita perlu juga berhati-hati. Pastikan kesihatan diri juga dijaga supaya ibadat dapat dilaksana dengan selesa," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 1:18 AM