Nasharuddin Muhammad


SERAMAI 30,200 jemaah haji Malaysia mula bertolak ke Arafah secara berperingkat, hari ini mengikut maktab penginapan masing-masing.

Dua puluh bas disediakan di setiap maktab bagi membawa antara 2,700 hingga 2,800 jemaah dalam tiga perjalanan.

Proses membawa semua jemaah terbabit bermula kira-kira 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) dan dijangka berakhir menjelang tengah malam nanti.

Sebelum itu, kumpulan pertama petugas haji terutama yang terbabit secara langsung dengan operasi masya'ir bertolak lebih awal, kira-kira 7 pagi (12 tengah hari Malaysia).

Pada musim haji kali ini, berikutan pertambahan bilangan jemaah dari seluruh dunia, pengurusan TH terpaksa mempercepatkan pergerakan jemaah bagi mengelak kesesakan teruk.

Mengikut amalan sebelum ini, jemaah Malaysia hanya mula bertolak ke Arafah selepas Zuhur.

Majlis pelepasan kumpulan jemaah pertama Maktab 74 dan 75 ke Arafah di ibu pejabat TH Makkah disempurnakan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Di Arafah, jemaah Malaysia menyertai lebih dua juta umat Islam lain dari seluruh dunia menanti kemuncak ibadat haji iaitu Wukuf, esok.

Di Arafah, semua jemaah ditempatkan dalam khemah baru yang kali pertama digunakan pada musim haji.Khemah itu lebih besar dan kukuh bagi menahan angin kencang serta kalis api dengan setiap satu dapat memuatkan 150 hingga 240 orang.

Bagi memberi keselesaan kepada jemaah, kipas berwap dipasang di setiap khemah dengan setiap maktab disediakan 150 unit.

Keadaan cuaca di Arafah ketika ini agak panas dengan purata suhu sekitar 40 darjah Celsius.

Pada musim haji kali ini, buat julung kali, jemaah disajikan dengan menu gabungan Melayu dan Arab yang lebih menepati selera mereka.

Esok, sempena Hari Wukuf juga, 1,000 jemaah mengambil bahagian pada majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour (WQH) Arafah 2017.

Peserta yang dibahagikan mengikut maktab akan menghabiskan bacaan dalam masa sejam bermula 9 pagi (2 petang Malaysia).

Ia sebahagian daripada pengisian aktiviti ibadat mereka sementara menunggu waktu Wukuf.Sebaik masuk waktu Wukuf, jemaah akan mendengar Khutbah Arafah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kemudian, sebaik masuk waktu Asar hingga Maghrib, inilah detik paling mustajab untuk berdoa dan jemaah tidak seharusnya melepaskan peluang itu.

Selepas itu, sebaik melepasi tempoh separuh malam, 11.45 malam esok, jemaah akan mula bertolak ke Muzdalifah untuk bermabit iaitu satu daripada perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 3:23 PM
ANTARA jemaah Malaysia yang mula bertolak ke Arafah. FOTO Nasharuddin Muhammad
ANTARA jemaah Malaysia yang mula bertolak ke Arafah. FOTO Nasharuddin Muhammad