Madinah: Jemaah haji Malaysia terus diiktiraf terbaik di dunia berikutan pengurusan cekap serta disiplin tinggi ditunjukkan mereka sepanjang melakukan ibadah berkenaan sebelum ini.

Pengerusi Muassasah Adillaq Sheikh Hateem Bali berkata, jemaah Malaysia dilihat cukup berpengetahuan dalam menunaikan ibadah berkenaan selain berdisiplin dan sopan.

“Setiap tahun jemaah haji Malaysia yang terbaik di dunia, mereka saling menghormati dan membantu jemaah lain,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia, di sini, semalam.

Beliau yang menjaga kepentingan jemaah haji di Madinah turut memuji pengurusan Tabung Haji (TH) yang mengurus secara sistematik pergerakan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang membantu menyediakan kemudahan kepada jemaah haji.

“Kami dapati banyak pembangunan dilaksanakan untuk keselesaan jemaah haji.

“Di kawasan Masjid Nabawi, banyak pembangunan diperluaskan untuk memudahkan jemaah menunaikan ibadah, pembangunan sama turut berlaku di Makkah,” katanya.

Pada tahun ini, 22,320 jemaah Malaysia bakal mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Jumlah berkenaan berkurangan 20 peratus berbanding jumlah kuota diberikan sebelum ini iaitu 27,900 jemaah.

Pengurangan 20 peratus itu dikenakan kerajaan Arab Saudi kepada negara sejak tiga tahun lalu berikutan kerja pembangunan di Masjidil Haram belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 10:12 AM