Syazwan Msar


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, hari ini bagi mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah bagi musim haji 1438H/2017M.

Baginda turut meluangkan masa bersalaman dengan lebih 470 jemaah haji pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Musim Haji 1438H itu.

Kesemua mereka bertolak ke Madinah jam 1.35 pagi ini dengan menaiki Penerbangan Malaysia MH8014 dan dijangka tiba pada jam 5.45 pagi (waktu Arab Saudi).

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan ibadat haji tahun ini.

Sehingga hari ini, 13 penerbangan sudah berlepas ke Tanah Suci Makkah dengan membawa 5,200 jemaah haji termasuk petugas haji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 10:01 PM