Helmy Abd Rahman


POLIS akan memanggil peguam Fariz Irwan Mustafa dalam masa terdekat bagi untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang mendesak Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bertanggungjawab berhubung isu penipuan umrah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT).

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, ia susulan 10 laporan polis yang dibuat terhadap Fariz Irwan selepas beliau mengeluarkan kenyataan itu Sabtu lalu.

“Setakat ini sebanyak 10 laporan polis dibuat pelbagai pihak yang menyokong MB (Menteri Besar) terhadap Fariz Irwan berkaitan isu YBNT," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ahad lalu, peguam berkenaan meminta kerajaan negeri dan Ahmad Razif bertanggung jawab serta menjawab isu berkenaan selain menggantikan duit mangsa.

Dalam pada itu, Aidi berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah pun diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Awal tahun ini polis menerima 40 laporan berhubung kes penipuan pakej umrah dipercayai oleh YBNT yang membabitkan lebih 4,000 mangsa dengan nilai RM14.2 juta.

Peserta umrah dikatakan hanya perlu membayar RM3,000 berbanding pakej bernilai RM6,990, manakala selebihnya dikatakan akan ditaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 7:08 PM