MOHD Adam diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
MOHD Adam diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


BEKAS Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut hari ini atas pertuduhan mengendalikan pakej umrah tanpa lesen.

Tertuduh, Mohd Adam Mohd Ghazali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mohd Adam didakwa mengendalikan pakej umrah tanpa lesen sah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Pelancongan dengan menggunakan nama YBNT.

Tertuduh didakwa berurusan dengan orang awam iaitu mengaturkan pakej umrah termasuk perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan pelancongan bagi tujuan komisen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Oktober 2016, 12 tengah hari di Wisma Yayasan Bakti Negara Terengganu di Jertih, Besut, Terengganu.

Mohd Adam didakwa mengikut Seksyen 5(2)(a) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda tidak lebih RM500 ribu ringgit atau penjara tidak lebih 10 tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan untuk tertuduh.

Kes ditangguh untuk membolehkan lantikan peguam mewakili tertuduh dan mahkamah juga menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas 76 pertuduhan kes penipuan pakej umrah membabitkan penipuan lebih RM300 ribu ringgit.

Kes penipuan dipercayai menjejaskan lebih 4800 individu terutama guru selepas mereka membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 1:39 PM