Azlan (kiri) bersama Pegawai Pendakwa, Mat Rifin Seman (dua kanan) dan pegawai KPDNKK melihat laporan berkaitan penipuan pakej umrah di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Azlan (kiri) bersama Pegawai Pendakwa, Mat Rifin Seman (dua kanan) dan pegawai KPDNKK melihat laporan berkaitan penipuan pakej umrah di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman


HANYA 20 orang saja membuat aduan berhubung kes penipuan pakej umrah yang didakwa dianjurkan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) dengan kerugian keseluruhan bernilai RM160,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu Azlan Abdul Samat berkata, daripada 20 kertas siasatan yang dibuka itu, sebanyak 16 kes membabitkan YBNT Group & Resort Sdn Bhd manakala empat kes lagi YBNT Umrah Travel & Tours.

"Aduan yang kita terima sangat sedikit iaitu hanya 20 orang saja sedangkan kita maklum bahawa kes ini membabitkan ribuan mangsa dengan jumlah kerugian bernilai jutaan ringgit," katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini.

Sehubungan itu, Azlan meminta mangsa penipuan umrah oleh YBNT segera tampil membuat aduan dengan KPDNKK atau Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil.

"Siasatan kami juga mendapati YBNT mempromosikan pakej mereka secara dalam talian menerusi Facebook di samping bayaran yang rendah daripada pasaran iaitu RM4,999,” katanya.

Dalam tempoh Jun sehingga Oktober tahun lalu, YBNT mencatatkan kemasukan wang berjumlah RM14.2 juta.

Wang yang dimasukkan ke dalam akaun satu daripada tujuh anak syarikat berdaftar kepunyaan yayasan yang beroperasi di Jerteh, Besut itu bagaimanapun, dikesan dikeluarkan dengan menggunakan beberapa keping cek dan secara tunai.

Pada 26 Disember lalu, dua lelaki yang dikatakan dalang penipuan pakej umrah ditahan polis bagi membantu siasatan selepas didakwa gagal melunaskan janji mereka.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Akauntan YBNT.

Keduanya dibebaskan pada 17 Januari lalu dengan jaminan polis sementara menunggu proses siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 jemaah terdiri daripada guru dan keluarga mereka selepas membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 12:34 PM