Aidi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Mohd Azhar dan Mohd Rawi (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Aidi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Mohd Azhar dan Mohd Rawi (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zaid Salim


POLIS Terengganu sudah melengkapkan kertas siasatan mengenai kes penipuan umrah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang membabitkan 378 mangsa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, kertas siasatan berkenaan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat bagi tindakan selanjutnya pada hujung bulan lalu.

"Seramai 40 daripada 378 mangsa juga akan dipanggil sebagai saksi bagi kes ini sekiranya dibicarakan di mahkamah nanti," katanya di majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Di majlis itu, Superintendan Mohd Azhar Mohd Yusof selaku Ketua JSJK Terengganu sebelum ini bertukar ke Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Pengurusan Kepolisan.

Tempat beliau dipangku Timbalan Ketua JSJK Terengganu Deputi Superintendan Mohd Rawi Abd Ghani.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu mengesahkan siasatan mereka mendapati YBNT mempromosikan pakej yang ditawarkan secara atas talian menerusi Facebook disamping bayaran yang rendah daripada pasaran iaitu RM4,999.

Kementerian itu mengenal pasti bahawa dalam tempoh Jun hingga Oktober tahun lalu, YBNT mencatatkan kemasukan wang berjumlah RM14.2 juta.

Wang itu dimasukkan ke akaun satu daripada tujuh anak syarikat berdaftar kepunyaan yayasan yang beroperasi di Jerteh, Besut tetapi ia dikesan dikeluarkan dengan menggunakan beberapa keping cek dan secara tunai.

Pada 26 Disember lalu, dua lelaki yang dikatakan dalang penipuan pakej umrah ditahan polis bagi membantu siasatan selepas didakwa gagal melunaskan janji mereka.

Kedua-duanya dibebaskan pada 17 Januari lalu dengan jaminan polis sementara menunggu proses siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 jemaah terdiri daripada guru dan keluarga mereka selepas membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Sementara itu, Aidi menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penyamaran ala Macau Scam yang aktif memperdayakan mangsa menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai akan melakukan penyamaran dengan mendakwa kononnya panggilan dibuat daripada pihak bank.

"Pihak terbabit cuba memperdayakan mangsa dengan mendapatkan identiti dan nombor akaun kononnya untuk tujuan kemas kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:02 PM