BERNAMA

POLIS Terengganu menahan bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) berhubung kes penipuan pakej umrah, membabitkan kerugian lebih RM4 juta sejak Disember 2016.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, individu itu ditahan di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur, 11 pagi tadi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu selepas menghilangkan diri hampir dua tahun.

“Suspek dibawa balik ke Terengganu dan akan dituduh di mahkamah Ahad ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman hari ini.

Menurut Aidi, kes penipuan umrah YBNT itu membabitkan lebih 300 mangsa dan 66 kertas siasatan dibuka sejak 2016.

“Suspek sebelum ini menyalahgunakan surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru.

“Suspek dikatakan bertindak mengunjungi sekolah untuk meyakinkan guru mengenai pakej yang ditawarkan,” katanya.

Aidi berkata, selepas mengambil bayaran daripada mangsa suspek menghilangkan diri.

YBNT sebelum ini dilaporkan menawarkan pakej umrah pada harga RM3,000 seorang.

Berita berkaitan

Siasatan pakej umrah YBNT selesai

Hanya 20 mangsa saja buat laporan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:30 PM