Suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Faiz Anuar
Suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Faiz Anuar
Fuad Hadinata Yaacob


SERAMAI 20 rakyat China dan lima warga Taiwan direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam.

Tempoh tahanan reman mereka dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar di Mahkamah Shah Alam hari ini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mereka tiba di mahkamah dengan tangan bergari, 11 pagi hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan 25 individu termasuk lapan wanita yang terbabit dalam sindiket penipuan Macau Scam.

Beliau berkata, banglo yang menjadi tempat mereka beroperasi di Shah Alam diserbu 3.45 petang semalam.

Menurutnya, sindiket itu dikesan menjalankan aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi dan meminta mangsa membayar wang kononnya bagi menjelaskan hutang dalam jumlah banyak.

"Hasil serbuan, polis merampas sebuah Toyota Vellfire, 10 pasport China, lima pasport Taiwan, empat komputer riba dan 16 Ipad serta skrip perbualan yang digunakan untuk aktiviti penipuan," katanya.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 5:24 PM