api  marak membakar tiga rumah  kedai di Kampung Baru, Sikamat, malam kelmarin.
api marak membakar tiga rumah kedai di Kampung Baru, Sikamat, malam kelmarin.
myMetro

“SAYA sedang berehat sebelum ternampak api di hadapan kedai menyebabkan saya menjerit memberitahu keluarga serta jiran,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Chong, 36, mengenai kebakaran membabitkan tiga rumah kedai di Kampung Baru Sikamat, Seremban, malam kelmarin.

Chong berkata, dia tinggal bersama keluarga isterinya di bahagian belakang kedai alat ganti motosikal milik keluarga terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian jam 8 malam, api dipercayai bermula dari kedai terbabit sebelum merebak ke dua rumah kedai bersebelahan.

“Saya terkejut apabila melihat api di hadapan kedai lalu menjerit memberitahu ibu bapa mentua. Saya segera keluar melalui pintu belakang dan menjerit meminta tolong jiran.

“Saya cuba padamkan kebakaran itu sementara jiran membantu memapah keluar mentua saya yang tidak dapat berjalan. Api marak dengan cepat menyebabkan saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya di lokasi kejadian, di sini.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan rumahnya dan sebuah kedai makan musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah kedai musnah 80 peratus.

“Mujur ketika kejadian, kedai makan tutup dan tiada pelanggan. Malah, rumah bersebelahan juga hanya tinggal seorang penghuni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris berkata, 22 pegawai dan anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran tiga premis berkenaan.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa dua jam untuk mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:38 AM