API marak membakar kereta dan rumah pusaka, kelmarin.
API marak membakar kereta dan rumah pusaka, kelmarin.
ANGGOTA bomba mengawal kebakaran yang bermula jam 2.50 petang.
ANGGOTA bomba mengawal kebakaran yang bermula jam 2.50 petang.
Zairee Mohd Yasak

Melaka: “Saya tidak pasti di mana kami lima beranak akan berhari raya memandangkan Aidilfitri hanya tinggal beberapa hari lagi,” kata Mohd Radzuan Mohamed, 36, selepas rumah pusaka didiami di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, dia yang ketika itu berada di tempat kerja hanya mampu melihat sisa kebakaran rumah pusaka milik keluarga mentua bapa saudaranya sebaik tiba dari tempat kerja.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, persiapan raya terutama pakaian anak musnah selain Perodua Viva milik syarikat yang diletakkan di sebelah rumah berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berusaha membantu memadamkan kebakaran itu walaupun tidak berjaya. Ketika kejadian, isteri juga di tempat kerja manakala tiga anak dijaga bapa saudara di rumah sebelah.

“Bapa saudara yang berada di rumah ketika kejadian hanya mampu melihat rumah pusaka milik keluarga mentua dianggarkan berusia 100 tahun musnah,” katanya.

Bapa saudara Mohd Radzuan, Ahmad Alias, 64, berkata, dia ternampak asap nipis dari bilik di rumah itu ketika melayan ketiga-tiga anak saudaranya bermain di halaman.

“Pada mulanya, saya sangkakan asap itu datang dari tempat pembakaran sampah di rumah jiran, namun akibat tidak sedap hati saya masuk ke rumah itu sebelum melihat api marak dari dalam bilik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba Sihan Tahir berkata, tindakan pantas anggotanya, kebakaran itu dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan dalam tempoh 20 minit.

Beliau berkata, tiga jentera termasuk sebuah ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 2.56 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:12 AM