NAJIB bersama menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ahli jawatankuasa sebelum menpengerusikan Mesyuarat MVV di Bangunan Perdana Putra, semalam.
NAJIB bersama menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ahli jawatankuasa sebelum menpengerusikan Mesyuarat MVV di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Projek pembangunan bersepadu dan terancang, Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di Seremban dan Port Dickson, dijangka menarik pelaburan lebih RM290 bilion, selain mewujudkan 1.38 juta pekerjaan baru.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek pembangunan terancang, lestari dan eksklusif itu akan dibangunkan di kawasan seluas 153,000 hektar serta dibahagikan kepada lima kluster strategik iaitu daerah perniagaan berpusat, bandar alam sekitar, lembah teknologi pendidikan, pelancongan dan kesejahteraan serta perbandaran kehidupan baru.

Beliau berkata, MVV adalah kawasan baru bagi pembangunan bersepadu yang bakal dibangunkan secara berfasa hingga tahun 2045 dan menjadi sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur di bawah Zon Potensi Pembangunan dalam Rancangan Fizikal Negara.

“Pembangunan MVV dibuat menerusi usaha sama pintar antara pihak awam dan swasta yang memberi fokus kepada empat pemacu pembangunan utama seiring dengan Program Transformasi Ekonomi Negara.

“Tiga pihak utama terbabit dalam memajukan MVV iaitu Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property), Brunsfield Development Sdn Bhd (Brunsfield) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP yang kemudian membentuk sebuah syarikat dikenali sebagai Malaysia Vision Valley Holdings Sdn Bhd,” katanya berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara tiga pihak utama, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Majlis menandatangani MoU itu diwakili Pengarah Urusan Sime Darby Property Datuk Jauhari Hamidi, Pengarah Urusan Brunsfield Tan Sri Gan Thian Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Katanya, biarpun aspirasi pembangunan MVV bertaraf metropolis dan moden, keperluan rakyat daripada semua peringkat akan diambil kira.

Najib berkata, antara yang bakal dibangunkan adalah perumahan mampu milik di kawasan seluas 400 hektar dan kawasan rekreasi serta kemudahan awam seluas 400 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:49 AM