MOHD Bakke
MOHD Bakke
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Sime Darby Bhd (Sime Darby), menghantar dokumen penyenaraian dua entiti perniagaannya, masing-masing Sime Darby Plantation Sdn Bhd (Sime Darby Plantation) dan Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) kepada pihak berkuasa pengurusan aktiviti itu pada suku ketiga ini.

Kedua-dua anak syarikat itu dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum akhir tahun ini sejajar dengan prestasi positif Sime Darby Plantation yang dicatatkan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, Sime Darby Property berada di landasan betul walaupun berdepan dengan cabaran dalam pasaran hartanah tempatan dan merekodkan prestasi kurang memberangsangkan dalam keputusan kewangan suku ketiga tahun kajian yang sama.

Beliau berkata, ketika ini, Sime Darby Plantation mempunyai 122,619.75 hektar bank tanah dan 28,327 hektar daripadanya dibangunkan bagi tujuan Projek Lembah Visi Malaysia (MVV) untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 tahun.

“Bagi kedua-dua aktiviti penyenaraian ini, pelaksanaan membangunkan bank tanah sedia ada penting untuk meningkatkan kepelbagaian perolehan syarikat dan ia dibangunkan secara agresif ketika ini.

“Dari segi Sime Darby Property, syarikat mempunyai 6,878 hektar bank tanah dan ia turut dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam taklimat mengenai keputusan kewangan Sime Darby suku ketiga berakhir 31 Mac 2017 di sini, semalam.

Ditanya mengenai unjuran harga purata minyak sawit mentah sepanjang tahun ini, Mohd Bakke berkata, ia dijangka berlegar kira-kira RM2,600 hingga RM2,800 setan dan tidak mungkin harga berkenaan menurun sehingga RM2,500 setan.

Katanya, syarikat turut menjangkakan prestasi pengeluaran minyak sawit mentah meningkat tiga hingga empat peratus pada suku keempat berbanding suku ketiga tahun kewangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 2:07 AM