AZMIR (dua dari kanan) dan Aminuddin (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah pembangunan Bandar Hamilton.
AZMIR (dua dari kanan) dan Aminuddin (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah pembangunan Bandar Hamilton.

Nilai: Sime Darby Property Bhd memperuntukkan RM250 juta bagi membangunkan Bandar Hamilton di sini, yang menjadi sebahagian daripada koridor pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pembangunan Bandar Hamilton di kawasan 1,101 hektar itu adalah pelengkap kepada kluster industri di bawah perancangan MVV 2.0 yang membabitkan pembangunan empat fasa berbeza.

"Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Empat akan difokuskan untuk aktiviti perindustrian sederhana manakala Fasa Tiga pula dibangunkan khusus untuk perindustrian ringan yang akan dilengkapi kilang berkembar dan separa berkembar siap dibina serta berkonsepkan taman perindustrian terurus.

"Projek pembangunan Bandar Hamilton ini akan mengambil masa selama tiga tahun dan ia sudah bermula sejak Jun lalu serta dijangka siap keseluruhannya pada 2024," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bandar Hamilton di sini, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Azmir berkata, siri pembangunan industri bercampur ini bersesuaian dengan keperluan berbeza mengikut jenis perniagaan serta mampu untuk membangunkan komuniti berasaskan industri.

Beliau berkata, lokasi Bandar Hamilton terletak di kawasan strategik yang dilengkapi akses kepada infrastruktur penting seperti jaringan lebuh raya bagi perniagaan yang mencari alternatif di luar Lembah Klang.

Katanya, bandar berkenaan turut menghubungkan hab logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pembangunan bandar ini dijangka dapat mewujudkan 740,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di kawasan sekitarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 8:02 AM