AHMAD Fadzil (dua dari kiri) dan Hamir (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar.
AHMAD Fadzil (dua dari kiri) dan Hamir (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Dua lelaki berdepan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah heroin seberat 84.76 gram bulan lalu, selain dua pertuduhan memiliki dadah kanabis dan syabu.

Tertuduh, Ahmad Fadzil Bakar, 48, dan Hamir Mustafa, 41, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman namun tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 20 Mac lalu, jam 1.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Kilometer 16 Jalan Tokai, Pendang.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dibaca bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap dua lagi pertuduhan, iaitu memiliki dadah methamphetamine seberat 2.28 gram dan kanabis seberat 0.97 gram pada tarikh, masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan memiliki methamphetamine, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan memiliki kanabis pula mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan Ahmad Fadzil dan Hamir dijamin bagi kedua-dua pertuduhan itu serta kes akan disebut semula pada 3 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 9:02 AM