GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana memiliki 1,619.8 gram ganja, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nazri Sahak, 48, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 2 Julai 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, lelaki itu didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 654.1 gram dan 965.7 gram di dua lokasi iaitu sebuah rumah dan kawasan parkir di Taman Naga Emas, Brickfields di sini antara 5.05 dan 5.15 petang pada 2 Julai 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Nazri sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua rakan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 541.6 gram, tiga tahun lalu.

Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lee Kim Shing ,41, dan wanita, Tan Kia Wah, 40, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, selepas menilai keterangan saksi-saksi mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah itu dalam jagaan dan kawalan oleh kedua-dua tertuduh.

"Dalam kes ini, elemen niat bersama untuk mengedar dadah juga gagal dibuktikan pihak pendakwaan terhadap tertuduh pertama dan kedua. Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 541.6 gram di sebuah rumah di Jalan Ipoh Batu 6, Sentul di sini pada 1 petang, 2 Disember 2020 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan di baca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Norashikin manakala peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lee manakala Tan diwakili peguam Mohd Taufik Md Tahir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 2:47 PM