Yusof menunjukkan katil yang didermakan masih dalam keadaan baik.
Yusof menunjukkan katil yang didermakan masih dalam keadaan baik.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: "Biarpun sudah tiga tahun berlalu, Harian Metro (HM) dan Takaful Ikhlas antara penyumbang sentiasa dalam ingatan kami," kata tenaga pengajar Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (PEKA YATIM) Yusof Musa, 32.

Pada 26 April 2014, seramai 50 sukarelawan HM dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) selaku rakan korporat dan penaja utama berkunjung ke pertubuhan itu di Jalan Guchil Bayam, di sini, sempena program Titipan Kasih HM (TKHM).

Dalam program itu, PEKA YATIM menerima kelengkapan asrama berupa katil dua tingkat, almari pakaian, rak buku, rak kasut dan tikar getah, kipas angin dan kipas dinding, selain set komputer dan pencetak serba guna, papan kenyataan dan bahan bacaan yang memanfaatkan pelajar.

Selain itu, sukarelawan bersama warga PEKA YATIM turut meluangkan masa bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar asrama pertubuhan itu dan mengecat bangunan dengan cat baru yang lebih ceria dan sesuai untuk keselesaan penghuninya.

Ketika kunjungan semula baru-baru ini, 30 anak yatim berusia 12 hingga 22 tahun tiada kerana dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan cuti sekolah manakala beberapa tenaga pengajar mempunyai urusan di luar Kelantan termasuk pengetuanya, Sahbuddin Mohamed Al Hafiz.

Namun semua barangan sumbangan tersedia elok yang menurut Yusof, ia dijaga rapi demi memastikan dapat digunakan lama, sekali gus memanfaatkan semua penghuni di situ.

Malah, katanya, mereka turut gembira apabila sumbangan membawa banyak perubahan terhadap penghuni di situ termasuk pelajar anak yatim menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelajaran mereka.

"Sejak ditubuhkan 21 tahun lalu, kami banyak berharap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan orang ramai untuk pengurusan.

"Jika mahu membeli keperluan baru buat penghuni, kami perlu berkira-kira bagi memastikan perbelanjaan mencukupi setiap bulan. Namun dalam masa sama, kita mahu pelajar merasa selesa seperti berada di rumah sendiri.

"Berikutan itu, apabila HM dengan rakan penajanya sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk membantu dan sumbangan yang dibawa pula, banyak dan benar-benar untuk keperluan penghuni...kami sangkat menghargainya.

"Ia (sumbangan) juga bersifat tahan lama. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda menyumbang untuk kami di sini," katanya.

Menurut Yusof, sebagai menghargai sumbangan terbesar pernah diterima itu, pengurusan PEKA YATIM turut menampal keratan akhbar mengenai TKHM di papan kenyataan untuk kenangan warganya.

Malah, sejak program TKHM juga pihaknya menerima sumbangan daripada pelbagai penderma lain termasuk korporat, institusi pengajian tinggi dan orang persendirian.

"Sehingga kini, kami masih lagi mendapat panggilan telefon daripada mereka yang mahu menderma termasuk juga badan bukan kerajaan (NGO). Dalam masa sama, hampir setiap minggu, akan ada program yang dijalankan pelbagai pihak untuk anak-anak di sini.

"Perubahan ini sedikit sebanyak dapat menambahkan sumber kewangan yang sedia ada untuk kami meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 11:41 AM