HUSAIN (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Jamal (empat dari kanan) sambil diperhatikan Nor Asikin (kanan), Noor Azam (dua dari kanan), Zolkeepli (dua dari kiri) dan Baharudin pada Program TKHM Ramadan 2020 di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Dahikmah. FOTO Sharul Hafiz Zam
HUSAIN (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Jamal (empat dari kanan) sambil diperhatikan Nor Asikin (kanan), Noor Azam (dua dari kanan), Zolkeepli (dua dari kiri) dan Baharudin pada Program TKHM Ramadan 2020 di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Dahikmah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari

"ALHAMDULILLAH, kami gembira dan bersyukur, setiap sumbangan yang kami terima ini sangat bermakna," kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Jamal Din, 60.

Pertubuhan itu satu daripada 13 rumah kebajikan yang menerima sumbangan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Jamal ketika ditemui berkata, sumbangan wang tunai RM5,000 yang disalurkan membantu meringankan beban pertubuhan itu terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kalau dari segi bantuan berbanding tahun sebelum ini memanglah kurang daripada biasa, kebanyakan penyumbang sebelum ini lebih suka menyerahkannya secara terus kerana mereka mahukan akad terhadap sumbangan atau zakat diberi itu.

"Namun begitu, Alhamdulillah meskipun dalam tempoh PKP semua keperluan kami ketika ini mencukupi dan sentiasa ada yang menghulurkan sumbangan.

"Terima kasih, semua sumbangan hari ini sangat membantu," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil TKHM dan penyampaian barangan keperluan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Hadir sama, Pengurus Seksyen C1 Tapah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Zolkeepli Bohani, Pengurus Seksyen N5 PLUS Kuala Kangsar Baharudin Mat Taib, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Nor Asikin Ibrahim dan Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.

JAMAL Din. FOTO Sharul Hafiz Zam
JAMAL Din. FOTO Sharul Hafiz Zam

Jamal berkata, ketika ini seramai 48 penghuni terdiri anak yatim dan miskin lelaki berusia enam tahun hingga 18 tahun tinggal di pertubuhan terletak di Jalan Pintu Padang, Kampung Sungai Itek itu.

"Mereka yang tinggal di sini bukan sahaja anak yatim, tetapi mereka dari kalangan keluarga miskin dan masing-masing mempunyai kisah hidup tersendiri," katanya

Menurutnya, pertubuhan diasaskan sejak 1992 itu adalah cetusan semangat arwah bapa dan ibunya yang sebelum ini seorang pendidik.

"Pertubuhan ini seperti rumah mereka (anak yatim dan miskin), kami menanggung segalanya dari tempat tinggal, makan dan minum dan membiayai mereka dari sekolah sehingga ke pusat pengajian tinggi," katanya sambil memaklumkan pertubuhan itu menanggung kos operasi sebanyak RM25,000 sebulan.

Sementara itu, Husain berkata, pertubuhan itu salah satu daripada tiga pertubuhan yang terpilih untuk program penyerahan sumbangan TKHM bagi wilayah utara.

"Penyerahan sumbangan membabitkan empat wilayah, jadi pertubuhan ini menjadi satu-satunya pertubuhan di Perak yang terpilih menerima sumbangan," katanya.

Beliau berkata, TKHM kali ini menggunakan kaedah berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Kaedah yang biasa kita lakukan sebelum ini kita membuat kenduri, tetapi kerana pandemik Covid-19 ini kita mengubah pendekatan.

"Alhamdulillah, tahun ini kita dapat lagi bekerjasama PLUS, yang mana dana dan pembiayaan daripada pihak PLUS dan kita (TKHM) yang menguruskan," katanya.

Program TKHM Ramadan 2020 mendapat kerjasama PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) untuk membantu masyarakat memerlukan.

Menerusi kerjasama itu, dana terkumpul berjumlah RM65,000 disumbangkan kepada 13 rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

Empat daripada rumah kebajikan berkenaan ditaja oleh LPT2 di kawasan Pantai Timur manakala selebihnya PLUS.

Program itu turut bekerjasama dengan JKM untuk pemilihan rumah kebajikan yang memerlukan bantuan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 2:24 PM