AB Latiff (kanan) menyampaikan sumbangan  sebagai penaja eksklusif TKHM kepada Mustapa sambil diperhatikan Othman.
AB Latiff (kanan) menyampaikan sumbangan sebagai penaja eksklusif TKHM kepada Mustapa sambil diperhatikan Othman.
Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kelainan yang ditampilkan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2015 terutama untuk menyantuni mangsa banjir menarik minat Takaful Ikhlas Berhad untuk bersama sebagai penaja eksklusif di Masjid Jamek Beseri, Perlis, Sabtu dan Ahad ini.

Ia dirasakan amat bersesuaian ketika golongan kurang berkemampuan khususnya mangsa banjir memerlukan perhatian semua pihak untuk membina kembali kehidupan yang terjejas berikutan bencana yang melanda penghujung tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Latiff Abu Bakar berkata, berdasarkan keadaan itu, pihaknya ingin meneruskan kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya buat kali keenam berturut-turut.

"Selain anak yatim, kita ingin membantu mangsa banjir kerana orang ramai perlu mengetahui terdapat produk takaful yang akan membantu mereka ketika berdepan musibah banjir.

"Ada beberapa keadaan yang membolehkan mangsa banjir layak mendapat perlindungan insurans berdasarkan produk dibeli. Ramai masih tidak tahu mengenainya," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan replika cek sumbangan program berkenaan di pejabatnya, di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dengan disaksikan Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro, Othman Mamat.

Ab Latiff berkata, pihaknya juga teruja untuk menjayakan TKHM pada kali ini kerana ia turut disertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang akan bersama-sama menyerahkan bantuan kepada keluarga miskin.

"Malah, kami akan menggerakkan warga kerja Takaful Ikhlas turut serta menjadi sukarelawan pada program TKHM di Perlis nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 9:04 AM