Sebahagian  pekerja Ladang Bukit Beruntung  menyatakan desakan selepas membuat laporan polis di IPD Hulu Selangor.
Sebahagian pekerja Ladang Bukit Beruntung menyatakan desakan selepas membuat laporan polis di IPD Hulu Selangor.
Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Sebanyak 54 keluarga dari Ladang Bukit Beruntung (LBB) di sini, menuntut pihak pemaju menyiapkan rumah mereka yang dijanjikan sejak 26 tahun lalu.

Rumah teres setingkat yang sepatutnya didiami dua tahun dari tarikh perjanjian pertama ditandatangani pada 1991, kini terbengkalai dalam kawasan ladang berkenaan.

Pada masa sama, ada dalam kalangan pekerja ladang itu menanggung kerugian kerana sudah menjelaskan bayaran pendahuluan RM5,000 hingga RM10,000, namun kediaman impian masih tidak dapat dihuni.

Lima ratus rumah kos rendah berharga RM26,000 dibina di kawasan LBB dan pekerja ladang diberi keutamaan untuk membelinya.

Pembeli, M Tamilchilbee, 59, berkata, dia menandatangani perjanjian kedua pada 1999 dengan lapan anaknya menjadi saksi namun empat daripada mereka kini sudah meninggal dunia.

“Anak-anak kerap bertanya bila boleh tinggal di rumah baru dan saya tiada jawapannya.

“Saya cuma mahu berpindah ke rumah baru sebelum memejamkan mata buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, kelmarin.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali bertanyakan status permohonan rumah itu kepada pemaju, namun seolah-olah tidak diendahkan dan laporan polis dibuat bagi menuntut hak pembeli.

Pengerusi Badan Bertindak LBB yang juga pembeli, K Ramasamy, 65, berkata, perjanjian jual beli menetapkan rumah itu disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian dibuat.

“Namun, pemaju gagal berbuat demikian dan memberi alasan sudah gulung tikar dan beban itu diletakkan kepada pekerja ladang. Perbuatan ini secara jelas adalah penganiayaan terhadap kami,” katanya.

Setiausaha Badan Bertindaknya, A Sivarajan, 47, pula berharap siasatan dibuat terhadap pemaju dan pemiliknya di bawah jenayah komersial kerana ia membabitkan penipuan wang pembeli.

“Pada 2002, rumah itu sudah 60 peratus, siap namun tiada bekalan elektrik dan air menyebabkan ia terus terbengkalai.

“Apabila terbengkalai dan terbiar, pihak tidak bertanggungjawab menceroboh dengan menanam kelapa sawit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:09 AM