Mohd Fuad menggunakan galah bagi menoreh pokok berusia lebih 10 tahun.
Mohd Fuad menggunakan galah bagi menoreh pokok berusia lebih 10 tahun.
Hassan Omar


Alor Gajah: Harga getah beku terus melambung, semalam, apabila mencecah RM4.60 satu kilogram (kg) berbanding RM4.35, kelmarin, menyebabkan semakin banyak kebun yang sebelum ini ditinggalkan terbiar diusahakan semula.

Harga itu menceriakan penoreh dan mendorong seorang lelaki berhijrah dari FELDA Serting Hilir 5, Jempol, Negeri Sembilan ke Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina, di sini, dua minggu lalu, bagi mengusahakan kebun getah di kampung berkenaan.

Mohd Fuad Ahmad, 29, yang sebelum ini bekerja di ladang kelapa sawit di tanah rancangan memilih untuk mengusahakan kebun getah seluas 1.6 hektar selepas ditawarkan pemiliknya.

Dia juga melakukan kerja membuka semula laluan susu getah pada pokok dipanggil buka pelan atau carang di kebun getah yang kini dipenuhi semak-samun akibat sudah dua tahun ditinggalkan.

“Adik saya tinggal di Kampung Ramuan Cina memberitahu, ada pemilik kebun getah mencari penoreh kerana harga komoditi itu sekarang sedang melambung.

“Saya setuju berhijrah ke kampung ini kerana pemilik kebun itu menyediakan tempat tinggal dan memulakan kerja membuka pelan awal bulan ini,” katanya.

Mohd Fuad berkata, sebelum itu sepanjang dua tahun bekerja di ladang kelapa sawit, dia langsung tidak menoreh getah, namun masih mahir melakukan kerja itu kerana sejak berusia lapan tahun sudah mula membantu bapanya di kebun.

Menurutnya, dia tetap tabah walaupun terpaksa menempuh kesukaran menoreh di kebun dipenuhi semak-samun dan kini melakukan kerja pembersihan secara berperingkat.

Katanya, usia pokok yang melebihi 10 tahun menyebabkan dia terpaksa menggunakan pisau toreh yang disambung pada kayu untuk memudahkan kerja menoreh dilakukan.

“Pada sebelah pagi bermula jam 7, saya akan toreh pokok di tanah seluas 0.8 hektar manakala pada jam 4 petang pula, saya akan sudahkan bakinya.

“Selang sehari baru saya toreh semula pokok itu dan pada hari kelima, saya akan mengambil getah beku untuk dijual,” katanya.

Kelmarin, harga getah terus meningkat dengan getah gred Standard Getah Malaysia 20 melepasi paras RM10 satu kg iaitu yang tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun.

Keterangan gambar

MOHD Fuad sanggup berhijrah dari Jempol ke Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina semata-mata untuk menoreh getah di kebun milik seorang penduduk kampung itu berikutan harga getah melambung.

MOHD Fuad memungut getah beku untuk dijual.

MOHD Fuad membawa getah beku keluar dari kebun getah di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina.

ends/salman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 10:52 AM