Arumugam mengambil upah menoreh getah di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Arumugam mengambil upah menoreh getah di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Derita dirasai ramai pekebun getah kesan harga komoditi itu yang `turun naik' di pasaran sejak beberapa tahun lalu.

Namun isu itu bakal diatasi apabila harga getah sekerap dijangka mampu mencecah lebih RM3.50 sekilogram menjelang penghujung tahun ini sehingga 2023.

Susulan itu penoreh dan peraih getah menarik nafas lega berikutan harga semasa getah beku kini adalah sekitar RM2.50 sekilogram dan disifatkan kurang memuaskan.

Penoreh getah, R Arumugam, 46, berkata, walaupun dihimpit kesusahan namun dia meneruskan tugas harian menoreh di kebun seluas 0.8 hektar milik penduduk Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini.

"Setiap tiga hari, saya akan kutip getah beku. Sebelum ini saya boleh dapat antara 80 hingga 90 kilogram (kg) getah beku. Namun musim hujan menyebabkan saya hanya mendapat hasil antara 40 hingga 50 kg.

"Harga getah beku sejak tiga bulan lalu tidak banyak berubah iaitu antara RM2.50 hingga RM3.15 sekilogram. Selepas dibahagi dua hasil jualan dengan pemilik kebun, saya hanya boleh mendapat antara RM40 hingga RM75," katanya semalam.

Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berdasarkan harga lantai getah beku RM2.50 sekarang.

"Contohnya apabila harga getah jatuh kepada RM2.20, saya akan dapat IPG sebanayak 30 sen," katanya.

Sementara itu, peraih getah di Kampung Ramuan Cina Kecil, di sini, Rustam Ma'ali, 36, berkata, rata-rata penoreh mahu harga getah beku meningkat ke paras selesa iaitu antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram seperti yang pernah dinikmati pada hujung tahun 2016.

Katanya, harga getah berada di bawah paras RM2 sejak tahun 2013 namun mula meningkat kepada RM2.50 mulai September 2016.

"Harga terus meningkat melepasi RM4 pada Disember 2016 dan mencapai RM4.70 pada awal Januari 2017 tetapi ia hanya bertahan selama dua minggu sebelum kembali menurun hingga sekarang," katanya.

Sehubungan itu, dia meminta kerajaan mencari kaedah sesuai bagi membantu meningkatkan harga getah yang tidak pernah naik sejak Januari 2017.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum ini dilaporkan berkata, harga getah diunjurkan meningkat melepasi RM3.50 sekilogram akhir tahun ini dan terus berada dalam aliran menaik berikutan permintaan tinggi daripada negara pengimport.

Katanya, harga getah semasa dalam keadaan stabil dan kerajaan berusaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengimport.

Pengeluaran getah negara masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan kementerian itu sedang berusaha menaikkan hasil getah negara, termasuk melalui kaedah menambah baik pengeluaran getah secara 'pengurusan estet,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 3:07 PM