JARI Muhammad Adam tersepit pada rantai basikal.
JARI Muhammad Adam tersepit pada rantai basikal.

Slim River: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit lebih 10 minit selepas jarinya tersepit di rantai basikal dalam kejadian di rumahnya di Taman Seri Permai, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Muhammad Adam Mohd Sani, 4, tersepit di jari manis tangan kirinya pada rantai basikal ketika bermain basikal baharunya itu di ruang tamu rumahnya.

Menurut Ketua Operasi Balai Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yussli Abd Latif, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.36 tengah hari daripada bapa mangsa Mohd Sani Mohd Saidon.

“Setibanya di lokasi, kami dapati jari manis kanak-kanak itu betul tersepit di antara rantai basikal dan pengayuh.

“Bomba kemudian bertindak membuka skru tayar basikal berkenaan dan kemudian memotong rantai menggunakan pemotong besi sehingga berjaya mengeluarkan jari mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh bapanya.

“Operasi khidmat khas itu tamat pada jam 1.46 tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:21 AM