LOKASI bersejarah di Malaysia juga menjadi perhatian pengembara berbasikal.
LOKASI bersejarah di Malaysia juga menjadi perhatian pengembara berbasikal.
PELBAGAI laluan ketika mengembara yang sudah menjadi perkara biasa buat pengembara.
PELBAGAI laluan ketika mengembara yang sudah menjadi perkara biasa buat pengembara.
KEMBARA berbasikal juga boleh dilakukan secara berkumpulan.
KEMBARA berbasikal juga boleh dilakukan secara berkumpulan.
PENGEMBARA berbasikal kebiasaannya pilih laluan perkampungan untuk menikmati keindahan panorama.
PENGEMBARA berbasikal kebiasaannya pilih laluan perkampungan untuk menikmati keindahan panorama.
Hafiz Ithnin


Menyusuri laluan sambil menikmati pelbagai panorama indah yang terbentang di depan mata menjanjikan pengalaman sukar dilupakan khususnya buat pengembara berbasikal. Sawah padi, bukit, ladang mahupun kampung, semuanya menyajikan pemandangan berbeza.

Keunikan dan keseronokan itulah yang mendorong sesetengah pengembara berbasikal untuk berhenti kerja.

Semata-mata ingin mengembara berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya ke segenap pelosok dunia atau merentasi satu sempadan ke sempadan negara lain. Segalanya dilakukan demi kepuasan.

Ini bermakna aktiviti berbasikal kini tidak lagi sinonim untuk perlumbaan saja tapi penggunaannya diperluaskan kepada penjelajahan atau pengembaraan.

Lebih menarik, basikal yang digunakan untuk mengembara juga mempunyai spesifikasi yang tersendiri.

Bagi satu perjalanan yang jauh mencecah hingga puluhan atau ratusan kilometer (km) sememangnya memerlukan basikal tahan lasak.

Ini kerana basikal mengembara tidak seperti basikal perlumbaan yang biasanya lebih ringan untuk memecut. Ia juga berbeza dengan basikal untuk laluan denai.

Antara spesifikasi basikal mengembara ialah kerangkanya diperbuat daripada besi kromoli yang mudah dikimpal, tayar antipancit, terdapat 35 lubang jejari lidi, saiz tayar 7.9 meter, mempunyai geometri tersendiri dan lubang skru yang banyak untuk meletakkan aksesori tertentu.

Biasanya, aksesori yang dipasang membabitkan para untuk meletakkan beg, pelindung tayar, lampu, loceng, cermin sisi dan tempat letak botol air 1.5 liter.

Basikal yang digunakan untuk mengembara juga sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membawa beban hingga 80 kilogram (kg) yang mana beban itu tidak termasuk berat badan si pengayuh.

Penulis difahamkan, harga untuk sebuah basikal kembara biasanya ditawarkan bermula RM1,200 dan aksesori yang diinginkan pula boleh dibeli dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Ia juga boleh digunakan untuk satu jangka masa yang lama.

Lebih menarik, bagi mereka yang ingin mengembara berbasikal bersama kanak-kanak, terdapat juga jenis basikal kembara yang sesuai buat si kecil untuk turut serta.

Terdapat beberapa jenis spesifikasi berbasikal bersama kanak-kanak. Pertama jenis tempat duduk kanak-kanak yang dipasang di atas para basikal di belakang.

Kedua, terdapat kereta sorong kanak-kanak yang disambung pada basikal utama atau dikenali sebagai ‘child trailer.’

Bagi kanak-kanak yang sudah mampu berkayuh pula, basikal mereka disambungkan kepada basikal utama yang dikenali sebagai ‘co-pilot trailer.’

Keunikan kembara berbasikal ini adalah pengayuh biasanya mempunyai persiapan yang rapi terutama perancangan untuk ke lokasi ingin dituju termasuk membuat kajian berkenaan laluan bakal digunakan sepanjang aktiviti pengembaraan.

Pada hari ini tidak sukar untuk mengira jarak laluan bagi pengembara basikal kerana terdapat kemudahan peta digital yang boleh didapati di laman web.

Perkara perlu diambil kira ialah cabaran sepanjang laluan berbasikal seperti jalan tidak sekata atau jalan raya sibuk dengan kenderaan bermotor yang boleh menyebabkan risiko kemalangan kepada pengayuh.

Bagi pengayuh yang ingin bermalam ketika mengembara, mereka biasanya membawa khemah sendiri sebagai persediaan sekiranya laluan pengembaraan tidak terdapat kemudahan untuk menginap atau sebagai langkah penjimatan wang.

Di Malaysia sebenarnya ada banyak laluan yang digunakan pengembara berbasikal. Biasanya mereka memilih kawasan kampung dan tidak melalui lebuh raya kerana faktor keselamatan, apatah lagi pemandangan di jalan kampung lebih menarik dan menyeronokkan.

Terdapat juga pengembara berbasikal yang gemar melalui jalan berhampiran kawasan hijau seperti merentasi lokasi air terjun untuk mereka berkhemah bersama keluarga atau rakan-rakan seperti di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Wang Kelian, Perlis.

Bagi mereka yang gemarkan pengembaraan di kawasan pantai, Malaysia sememangnya mempunyai laluan pantai yang panjang untuk dilalui di kawasan pantai timur.

Sebenarnya, aktiviti pengembara berbasikal ini mampu untuk memperkenalkan produk pelancongan Malaysia kepada pelancong asing terutama di kawasan unik yang jarang mendapat perhatian.

Tidak ketinggalan, keunikan budaya di Malaysia juga boleh diketengahkan memandangkan ramai warga asing menjadikan negara ini sebagai lokasi kembara berbasikal mereka.

Pada masa sama, aktiviti kembara berbasikal juga mampu menjadi platform beriadah bersama keluarga kerana ia bukan terhad kepada golongan dewasa semata-mata malah dengan adanya spesifikasi tertentu, bayi dan kanak-kanak juga boleh turut serta.

Jadi apa tunggu lagi? Jom kayuh!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 2:56 PM