Noor Hashim   (tengah) menunjukkan  barangan dirampas di IPD  Iskandar Puteri,  semalam.
Noor Hashim (tengah) menunjukkan barangan dirampas di IPD Iskandar Puteri, semalam.

Iskandar Puteri: Tindakan pantas polis dan hasil kerjasama orang awam menahan lelaki berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dalam kes samun membabitkan kecederaan guru sekolah memandu dalam kejadian di Taman Nusa Bestari di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi, suspek ditahan selepas melarikan diri 500 meter sejurus menyamun mangsa berusia 54 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, dalam kejadian itu, mangsa cedera di leher akibat berlaku pergelutan selepas suspek bertindak masuk ke dalam kereta mangsa untuk melakukan samun.

“Mangsa baru menurunkan pelajar sekolah memandu berdekatan pusat urut di Taman Nusa Bestari sebelum suspek masuk ke kereta dan meletakkan pisau di leher mangsa serta mengarahkan mangsa beredar.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum orang ramai menghulurkan bantuan menyebabkan suspek berlari ke jalan besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis tiba di lokasi kejadian dan dengan bantuan orang ramai mengejar suspek sejauh 500 meter dan akhirnya menahan lelaki itu di sebuah pasar raya di Taman Bukit Indah, di sini.

Katanya, dalam tangkapan itu, polis turut merampas pisau berukuran 27.94 sentimeter, gergaji besi 30.48 sentimeter dan beg berwarna coklat mengandungi dua pisau lipat 15.24 sentimeter, pisau 16.51 sentimeter, serangkai kunci, kad pengenalan, lesen memandu dan surat pajak gadai.

Noor Hashim berkata, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes termasuk dadah, merusuh, samun dan curi dalam bangunan selain dipercayai turut terbabit dengan empat lagi kes samun di daerah Iskandar Puteri.

Beliau berkata, suspek juga baru dua minggu keluar dari penjara selepas menjalani hukuman atas kesalahan membuat laporan palsu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif syabu,” katanya.

“Suspek direman seminggu sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 11:36 AM