Barangan yang disamun suspek. FOTO ihsan PDRM
Barangan yang disamun suspek. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam enam kes samun di sekitar kawasan Iskandar Puteri di sini, ditahan polis awal pagi tadi.

Masing-masing yang berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan di Jalan Indah 1/10, Taman Bukit Indah di sini, pada jam 4.45 pagi, selepas diekori polis sejauh 1.2 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, dua suspek itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Indah 1/1, Taman Bukit Indah di sini, sebelum diekori polis.

"Berikutan kes samun yang dilaporkan berlaku pada awal pagi di tepi jalan khususnya di Taman Bukit Indah dan Taman Nusa Bestari di sini, kita menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan dan menangkap penjenayah ini.

"Awal pagi tadi, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri dan Balai Polis Bukit Indah berjaya mengesan motosikal berwarna merah ditunggang dua lelaki ini ketika rondaan cegah jenayah dibuat di lokasi berkenaan.

"Polis melihat dua lelaki yang memakai jaket ini dalam keadaaan mencurigakan dipercayai berlegar-legar di kawasan sekitar untuk mencari sasaran atau mangsa," katanya.

Menurutnya, anggota polis terus mengekori suspek sejauh 1.2 km dan kurang 10 minit, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, berlaku pergelutan antara suspek dan polis.

Noor Hashim berkata, susulan tangkapan, suspek membawa anggota polis ke rumah di Taman Timor di sini dan pemeriksaan menemui barangan yang disamun mereka.

"Hasil tangkapan dan pemeriksaan, kita merampas motosikal Honda Wave, parang panjang 62.23 sentimeter (cm), beg sandang, tujuh telefon bimbit, lima kad bank, dua dompet, serangkai kunci motosikal, dua komputer riba, kamera serta pisau rambo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:55 PM