GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang penyamun menggertak seorang pekerja hotel dengan parang panjang supaya menyerahkan sejumlah wang memakan diri apabila mangsa bertindak mempertahankan diri dengan menggunakan kayu, sebelum suspek ditahan polis.

Dalam kejadian di Taman Nusa Bestari 1.40 pagi Jumaat itu, mangsa dikatakan sedang bertugas di tempat kerjanya ketika secara tiba-tiba didekati seorang lelaki membawa parang panjang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa mengeluarkan sejumlah wang daripada peti simpanan, namun mangsa bertindak bijak dengan mengambil sebatang kayu untuk mempertahankan diri dan mengejar suspek.

"Suspek melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang rakannya yang ketika itu sedang menunggu di luar kawasan hotel," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, usaha mereka untuk melarikan diri bagaimanapun tidak kesampaian apabila polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di hadapan hotel itu, secara kebetulan ternampak seorang lelaki terburu-buru berlari ke arah kenderaan sambil memegang parang, sebelum kenderaan tersebut memecut laju.

Menurut beliau, polis yang mengesyaki sesuatu, mengejar kenderaan suspek dan menahan mereka kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Polis merampas kenderaan yang digunakan dan dua telefon bimbit, sebilah parang berukuran 17 sentimeter serta dua helai baju.

"Kesemua suspek berusia 29 dan 36 tahun itu didapati negatif ujian saringan air kencing.

Namun, hasil siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam dua kes samun melibatkan hotel dan sebuah kedai serbaneka di Johor Baharu Utara (JBU) dan di daerah ini," katanya.

Kes disiasat Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan rompakan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 12:47 AM