KEMALANGAN maut yang membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan dua buah lori di Kilometer 19.5 Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson.
KEMALANGAN maut yang membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan dua buah lori di Kilometer 19.5 Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson.

Port Dickson: Seorang juruteknik teknologi maklumat (IT) Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 19.5, Jalan Lukut-Sepang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku jam 11.55 pagi menyebabkan Muhammad Hafiz Izreen Izani, 27, yang menunggang motosikal jenis Z800 maut di tempat kejadian akibat cedera parah bahagian dalaman.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sepang, Selangor ke bandar ini.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa cuba memotong sebuah lori tangki berhampiran selekoh, tetapi tidak berjaya. Akibatnya, motosikal ditunggangi mangsa bertembung sebuah lori lain dari arah bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian bergesel dengan lori tangki sebelum dia terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil memaklumkan kemalangan itu mengakibatkan motosikal mangsa putus dua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 10:05 AM