ANTARA pekerja warga asing yang dicekup imigresen, semalam.
ANTARA pekerja warga asing yang dicekup imigresen, semalam.
Rudy Syareme Sheriffudin 


Bayan Lepas: Sekumpulan pekerja warga asing langsung tidak menyedari ‘pelanggan’ yang berada di sebuah pusat beli-belah, di sini, sebenarnya adalah anggota Jabatan Imigresen yang melakukan operasi sehinggalah mereka ditahan dalam serbuan di premis itu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 11.30 pagi itu, 58 warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negeri ini tidak mampu melakukan apa-apa kerana premis berkenaan sudah dikepung sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen.

Mereka yang bekerja sebagai tukang masak, pembantu kedai, pengawal keselamatan dan juruwang di medan selera dalam premis berkenaan hanya mampu menyerah diri selepas anggota Imigresen memperkenalkan diri.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri Abdul Rahman Hassan berkata, operasi itu membabitkan 90 pegawai dan anggota dari negeri berkenaan, Kedah, Perak dan Perlis.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung kebanjiran pekerja warga asing yang diragui status mereka di medan selera pusat beli-belah terbabit

“Dalam pemeriksaan itu, 47 lelaki dan 11 wanita warga asing yang terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal ditahan dalam pemeriksaan di 42 premis menjual makanan.

“Semua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40-an dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan ada yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Selain itu, mereka turut dikesan tinggal lebih masa di negeri ini tanpa dokumen. Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen di Seberang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya yang ditemui ketika sidang media, di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 39(b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:05 AM