SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa dalam operasi di Sungai Petani, semalam. FOTO ihsan JIM Kedah.
SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa dalam operasi di Sungai Petani, semalam. FOTO ihsan JIM Kedah.
Nordiana Shafiee


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah terus menggempur lokasi warga asing dalam Op Mega 3.0 yang diadakan di sekitar Sungai Petani, semalam.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi bermula 3 petang itu, 25 warga asing pelbagai warganegara ditahan di tiga lokasi berasingan membabitkan kompleks beli-belah dan tapak pasar malam.

Katanya, secara keseluruhan seramai 231 warga asing serta lapan warga tempatan diperiksa pihaknya ketika sedang berpeleseran pada hujung minggu di tiga lokasi terbabit.

“Dalam pemeriksaan pertama di kompleks beli-belah di Amanjaya, sembilan lelaki terdiri daripada lima warga Bangladesh dan empat warga Pakistan ditahan kerana tidak memiliki pas dan dokumen perjalanan sah.

“Pemeriksaan kedua di premis di Jalan Kampung Baru, seramai 11 warga India dan seorang lelaki warga Indonesia dikesan melakukan kesalahan imigresen tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, empat lagi warga asing iaitu tiga warga Bangladesh dan seorang warga Nepal ditahan di tapak pasar malam Taman Keladi ketika sedang membeli barangan keperluan atas kesalahan sama.

Menurutnya, ketika pemeriksaan di tiga lokasi itu, semua warga asing terbabit tidak sempat melarikan diri kerana anggota penguat kuasa sudah membuat kepungan.

“Kami dapati kompleks beli-belah di pusat bandar sering menjadi tempat berkumpul dan melepak warga asing pada cuti hujung minggu.

“Mereka menghabiskan masa di kedai penghantaran wang ke luar negara, kedai tukaran wang asing dan duduk di kaki lima hadapan pintu masuk kompleks beli-belah,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing berusia antara 21 hingga 45 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 10:28 AM