TERTUDUH menutup wajahnya ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
TERTUDUH menutup wajahnya ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Boleh kurangkan lagi tuan?” rayu seorang pengusaha teksi selepas didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM1,000 daripada seorang pemandu teksi, tahun lalu.

Radzali Attan, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang hadir berkerusi roda didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd Yunos Wahab, 56, sebagai dorongan bagi menjalankan pengaruh peribadi terhadap pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelesaikan kes kesalahan dilakukan lelaki terbabit.

Ia bagi membantu menyelesaikan kes kesalahan dilakukan Mohd Yunos mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang dilakukannya pada 7 Jun 2015 ketika memandu teksi.

Bagi perbuatan yang dilakukan di rumahnya di No 70/4, Lorong Hajah Salamah Off Jalan Bakar Batu, Muar, dekat sini, jam 1.15 petang, 13 Julai 2015 itu, dia didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata, dia tidak mempunyai pekerjaan selepas mengalami sakit tulang belakang dan tidak lagi memandu teksi.

Tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai 11 anak termasuk tiga yang masih bersekolah dan seorang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan lelaki itu di penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:05 AM