BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat memeras ugut meminta wang daripada dua pelajar sekolah, seorang pemandu teksi didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap V Ramesh, 34, selepas dia mengaku bersalah memeras ugut pelajar perempuan berusia 13 dan 14 tahun sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mereka di tepi jalan berhampiran KL Festival Danau Kota, Setapak, pada 8 malam, 27 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan atau denda.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa menaiki teksi tertuduh selepas pulang dari sekolah dan ketika berhenti di tempat kejadian, seorang daripada mereka membuka pintu namun pintu teksi bergesel dengan sebuah motosikal.

Tertuduh mengarah mangsa menutup semula pintu dan memandu teksi ke kawasan agak gelap sebelum meminta mangsa mengeluarkan semua wang sebagai ganti rugi calar pada pintu teksi, jika tidak mereka akan dicederakan.

Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai dan dibenarkan keluar dari teksi.

Tertuduh yang diwakili peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani merayu dikenakan denda minimum dengan alasan penanggung utama keluarga serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 7:32 PM