RAFIDAH (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada pemandu teksi di sekitar Batu Ferringhi, Georgetown.
RAFIDAH (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada pemandu teksi di sekitar Batu Ferringhi, Georgetown.
Zuhainy Zulkiffli


GEORGETOWN: Kekangan kewangan antara faktor pemandu teksi di negeri ini tidak mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Malah ada yang mahu menunggu sehingga saat akhir bagi berbuat demikian iaitu sehingga 31 Julai ini sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Pengurus Pejabat Perkeso Georgetown, Rafidah Abdul Rahim berkata, tindakan golongan itu dikenal pasti menerusi beberapa siri pemeriksaan yang dijalankan Perkeso di sekitar Pulau Pinang.

Katanya, jika pemandu teksi berkenaan didapati gagal mendaftar bermula 1 Ogos depan, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang mana sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Keistimewaan pemandu teksi di negeri ini, mereka mendapat bantuan RM600 setahun menerusi program insentif yang diperkenalkan kerajaan negeri. Ada yang terus mendaftar serta mencarum selepas menerima wang berkenaan.

“Namun ada juga yang menunggu hingga saat akhir justeru, kami lakukan pemeriksaan bagi memberi kesedaran kepada mereka,” katanya kepada media di Batu Feringgi, semalam.

Rafidah ditemui selepas mengadakan Op Kesan di Jalan Batu Ferringhi membabitkan tiga lokasi yang menjadi tumpuan operasi pemandu teksi.

“Kami turut mengedarkan risalah mengenai faedah di bawah skim bencana kerja pekerjaan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:45 AM