Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: "Prosiding hari ini gagal dan menemui jalan buntu," kata peguam syarie mewakili Diana Danielle, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya mengenai prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Akberdin ketika ditemui berkata, anak guamnya masih dengan pendirian untuk tidak meneruskan perkahwinan ini, namun suaminya, Farid Kamil enggan melafazkan talak walaupun selepas diminta oleh mahkamah.

"Tadi, mahkamah sudah bacakan pendapat daripada JKP. Memang pendirian plaintif jelas, dia tak mahu teruskan dengan perkahwinan dan nyatakan sebab-sebabnya. Defendan pun dah jelaskan daripada pihaknya.

"Kemudian, saya pohon kepada mahkamah untuk minta dia lafazkan cerai, tapi dia tak setuju. Jadi, hakim dah rujuk perkara ini kepada hakam keluarga atau hakam islah. 

"Ini sekali gus memerlukan satu lagi proses rundingan. Jadi, kita akan lihat hasilnya dan kalau berjaya, dia akan lafazkan cerai. Kalau dia masih enggan, kita akan serahkan kepada hakam mahkamah dan mahkamah akan minta wakil kepada suami untuk lafaz," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Diana untuk kes nusyuz, Azmi Mohd Rais berkata, pihak peguam Farid kini sudah menggugurkan tuntutan kembali taat yang difailkan sebelum ini.

"Sebelum ini, Farid failkan perintah kembali taat dan juga tuntutan sabitan nusyuz kepada Diana. Jadi, pada hari ini, saya membuat bantahan lebih awal dan pihak peguam Farid bersetuju untuk gugurkan tuntutan kembali taat.

"Jadi, yang tinggal sekarang adalah tuntutan nusyuz saja yang perlu dijawab. Jadi, kami sudah memohon satu tarikh sebutan untuk memfailkan pembelaan terhadap dakwaan nusyuz, terhadap Diana dan tarikhnya adalah pada 15 Jun nanti," katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, mahkamah hari ini memutuskan wujud shiqaq kerana kedua-dua pihak tidak tinggal bersama.

"Selepas mahkamah meneliti kesemua perkara, kita ada bangkitkan mengenai isu shiqaq. Mahkamah putuskannya berdasarkan kepada kedudukan pihak-pihak terbabit yang sudah tidak tinggal bersama. 

"Mahkamah akan menasihatkan Farid untuk melafazkan talak, namun, dia masih tetap dengan pendiriannya untuk menyelamatkan rumah tangga," katanya.

Farid ketika diminta mengulas mengenai nusyuz yang difailkan pada 6 April lalu berkata, dia tidak berniat untuk memburukkan lagi keadaan.

"Seperti yang semua sedia maklum, tuntutan itu saya buat bukan kerana ingin memburukkan keadaan. Tapi, saya sebagai suami yang mana, di dalam hukum hakam Islam, ada hukum tertentu yang boleh diguna pakai dari sudut hak seorang suami," katanya.

Mengulas mengenai shiqaq yang wujud, Farid akan terus mempertahankan rumah tangganya.

"Seperti yang saya katakan, ia masih dalam perbicaraan, yang mana, shiqaq berpanjang itu, kita tak tahu apa yang dipanjangkan. Pada pendapat saya, mudah saja. Kita ada proses mahkamah dan selepas ini proses hakam.

"Jadi, selepas ini saya akan lantik wakil hakam untuk memanjangkan hasrat saya sebagai suami bagi mempertahankan rumah tangga saya dan isteri saya. Supaya kami kembali semula," katanya.

Turut hadir ke mahkamah di sini adalah ibu dan bapa kepada Farid, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah. 

FARID Kamil hadir bagi laporan JKP dan sebutan pertama nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. FOTO Aziah Azmee
FARID Kamil hadir bagi laporan JKP dan sebutan pertama nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 6:13 PM