LELAKI bersama gadis 17 tahun ditahan dalam Operasi Cegah. FOTO ihsan AADK
LELAKI bersama gadis 17 tahun ditahan dalam Operasi Cegah. FOTO ihsan AADK
Junaidi Ladjana


LELAKI yang juga orang kena pengawasan (OKP) ditahan kerana gagal melaporkan diri dalam tempoh pengawasan sejak tiga bulan lalu dalam Operasi Cegah di kampung di daerah Keningau, semalam.

Lebih mengejut, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama remaja berusia 17 tahun di bilik sewa mereka.

Difahamkan, ketika operasi dijalankan oleh anggota AADK, lelaki dan gadis itu ditemui di dalam selimut dan sedang melakukan perhubungan intim.

Kedua-dua mereka juga baru selesai mengambil syabu.

Hasil soal siasat mendapati, gadis itu tidak pulang sejak tiga hari lalu dan bersama kekasihnya akibat ketagih dadah.

Menurut Ketua Operasi AADK Keningau, Azry Golbin@Azmi, suspek lelaki dikesan sebagai OKP dan gagal hadir mengikuti program rawatan dan pemulihan bagi tempoh tiga tahun.

Lelaki bersama kekasihnya itu antara 12 individu disyaki penagih dadah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Keningau dalam operasi yang bermula kira-kira 11 malam dan berakhir 3 pagi.

“Hasil ujian saringan yang dibuat, kedua-dua suspek turut positif ujian dadah jenis syabu.

“Operasi yang dijalankan dibeberapa kampung sekitar daerah ini dan Tambunan menahan 12 suspek yang semuanya gagal ujian saringan dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azry berkata, lelaki OKP disiasat mengikut Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah kerana menggunakan semula dadah dalam tempoh pengawasan.

“Gadis dan suspek yang lain berusia 17 hingga 42 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam boleh menyalurkan aduan berkaitan aktiviti dadah di talian 087-339886 atau tampil ke mana-mana pejabat berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:57 AM